08 October 2009

Tahukah Anda ?



Pernahkah anda menyedari bagaimana pantasnya anda membuat keputusan setiap hari? Mungkin ramai yang tidak perasan akan kecenderungan ini dan akhirnya, berlakulah pembuatan keputusan yang kurang cermat yang mungkin merugikan.
Seorang eksekutif, Cik Lina (nama samaran) percaya bahawa beliau mempunyai kemahiran pelbagai (multi-skills) dan selesa berada dalam suasana seperti itu. Apalagi dengan suasana kehidupan di metropolitan Kuala Lumpur yang serba sibuk. Beliau mempunyai kecenderungan dan dilatih untuk membuat keputusan dalam waktu yang singkat. Nah! begitulah kalau mahu berjaya. Itu komennya.
Di dalam sesi dengan kami, setelah di analisis beliau diberitahu bahawa beliau adalah seorang yang 'fast learner'. "That's great!", komen beliau. Kami hanya tersenyum sebelum memulakan bicara selanjutnya.
Di dalam hal ini, beliau didapati cenderung untuk cepat dan mudah suka kepada sesuatu perkara dan cepat juga bosan! Hmmm....beliau merenung kenyataan ini dan mengakui hakikat ini. Hasilnya, beliau juga mengakui bahawa beliau memang cenderung merefleksi sesuatu kejadian dalam hidupnya dengan kadar yang agak cepat. Ertinya, beliau sangat mudah untuk membuat sesuatu keputusan dalam hidupnya!
Nah...inilah yang ingin kita kongsikan. Dengan teknik yang ada pada hari ini, kita boleh mendapat maklumat bagaimana seseorang itu cenderung membuat keputusan atau merespons kepada sesuatu kejadian. Itulah kehebatan sains dan teknologi abad-21!
Cik Lina agak terdiam bila diberitahu tentang perkara ini. Dalam perbincangan tersebut, kami menyarankan kepada beliau agar lebih berhati-hati dan mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat keputusan. Kalau beliau ingin membeli sesuatu barang contohnya tawaran harga murah oleh mana-mana wakil jualan, beliau boleh membuat keputusan kurang dari 5 minit sahaja! Lantas apa yang perlu Cik Lina lakukan ialah menangguhkan keputusan itu dan mula menjawab beberapa persoalan berikut :- apakah benar-benar diperlukan barangan itu? sudahkah beliau membandingkan harga sebenar barangan itu dengan kononnya tawaran harga murah oleh wakil jualan tersebut? bolehkah beliau meneruskan kehidupan sehariannya tanpa membeli berangan tersebut? Perlukah beliau membuat keputusan kurang dari 5 minit untuk memliki barangan tersebut?
Cik Lina perlu melatih diri dengan mempertimbangkan faktor lain dan tidak membuat keputusan dengan tergesa-gesa yang mungkin dibuat dengan kurang tepat.
Begitu juga dalam perhubungan, ada ketikanya kita cenderung membuat kesimpulan dan spekulasi dengan mudah dan pantas. Kita mudah melabel dan menerima sesuatu berita dalam bentuk gosip dan spekulatif. Akhirnya perhubungan dengan pasangan atau teman kita menjadi suram dan muram. Kita menjadi tidak bahagia dengan keadaan ini. Konflik dan pertengkaran mudah terjadi, akhirnya membuatkan kita tidak ramai kawan dan sering merasa depresi dalam hidup.
Ketahuilah rahsia diri anda dan apakah kecenderungan anda dalam membuat keputusan atau merefleksi sesuatu kejadian. Ia dapat membantu anda membina suatu perhubungan yang lebih baik dan berkesan. Ia juga mampu membantu anda untuk mengurangkan sifat gelojoh, terburu-buru dan gopoh.
Insyaallah anda akan berjaya dan pasti berjaya dengan bimbingan Sang Pencipta Yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment